Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Saiful Bukhari Azlan Sedih Tun Dr Mahathir Dan Anwar Kini "Berbaik Semula"

Posted: 01 Dec 2016 06:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Saiful Bukhari Azlan percaya Tun Dr Mahathir Mohamad masih percaya tuduhannya pada 2008 yang beliau diliwat bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, bekas pembantu di pejabat PKR itu mengakui keakraban Dr Mahathir dan Anwar memberi kesan kepada dirinya.
"Saya tidak kisah dengan pembangkang. Tetapi apabila dia (Dr Mahathir) menyokong Anwar, ia sedikit menyentuh perasaan saya. Ia agak sedih untuk saya," Saiful, yang membuka kedai bersama isteri Nik Suryani Megat Deraman sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Dr Mahathir bertemu Anwar buat pertama kali dalam masa 18 tahun pada Sep 5, menamatkan permusuhan antara kedua-dua pemimpin yang pernah menerajui negara pada era 90an itu.
Bagi Saiful, tuduhan liwat terhadap Anwar tetap kekal dan yakin Dr Mahathir masih mempercayainya walaupun selepas kedua-dua seteru politik itu berbaik semula.
"Dia (Dr Mahathir) tidak menyatakan itu (tuduhan liwat) tidak benar. Dia hanya katakan bebaskan dia (Anwar) sahaja," kata Saiful.
Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada Feb 2015 mendapati Saiful seorang saksi yang boleh dipercayai.
Pelanggan ahli politik
Antara barangan dijual Saiful dan isteri ialah beg tangan, kain songket, baju dan skirt.
Selain itu, Saiful dan Nik Suryani turut menawarkan khidmat konsultasi media kepada ahli politik dan wakil rakyat.

"Kita bagi konsultasi macam mana nak adakan sidang media, macam mana hendak keluarkan kenyataan, macam mana hendak menjawab soalan provokatif wartawan.
"Dari sudut kajian, saya dan beberapa kumpulan dan pihak tertentu turut menyediakan khidmat bancian pengundi. Kami ambil kajian dan menilai kawasan berkenaan," katanya.
Saiful berkata kira-kira 20 ahli politik kini pelanggan khidmat konsultasi mereka. #sumber

Hamidah Othman: Perhimpunan Agung UMNO Hanya Medan Bodek Najib

Posted: 01 Dec 2016 06:43 AM PST

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengkritik sikap Umno yang menjadikan persidangan agungnya kali ini sebagai medan membodek dan mengangkat Datuk Seri Najib Razak.
Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman juga kecewa kerana ia turut menjadi platform mengkritik bekas pemimpin Umno.
"Saya nak ucap terima kasih juga kerana mempopularkan PPBM sekurang-kurangnya," katanya kepada FMT hari ini.
Semalam bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PPBM menjadi sasaran ucapan ketua Pemuda dan Wanita Umno
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memetik sajak "Melayu Mudah Lupa" karangan bekas perdana menteri itu, sementara Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil menyifatkan hari Dr Mahathir "bercium mulut" dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang sebagai "hari paling gelap" buat dirinya.
Mengulas lanjut, Hamidah dalam masa yang sama turut mempersoalkan kenyataan Shahrizat yang menyatakan Najib sebagai perdana menteri terbaik.
"Bagaimana ketua Wanita yang berpengalaman membuat penilaian mengatakan Najib adalah terbaik? Lebih baik daripada Dr Mahathir dan Tun Abdul Razak sendiri?
"Pada saya Shahrizat mungkin terlalu lena di atas, tidak melihat rintihan dan suara rakyat di bawah yang mengeluh melalui keperitan hidup dan sebagainya," katanya.
Beliau turut melihat persidangan sayap Wanita Umno tidak digunakan sebaiknya bagi membela rakyat terutama dari segi kenaikan kos hidup, pengangguran, kenaikan harga barang dan sebagainya..
"Perkara itu tak dibangkitkan, ia digunakan sebagai sesi menghentam Dr Mahathir secara khususnya. Ia satu perhimpunan yang gagal membawa aspirasi rakyat," katanya. #sumber

SU Agong Pemuda MCA Beri Amaran Kepada Naib Ketua Pemuda UMNO

Posted: 01 Dec 2016 06:40 AM PST

PETALING JAYA: MCA menggesa Umno mengambil tindakan terhadap Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun kerana "menggugat masyarakat dan pendidikan Cina".
Ini berikutan amaran Khairul kepada kaum China tentang implikasi jika mereka terus menjauhi Barisan Nasional (BN).
Khairul berkata, ia mungkin menyebabkan Putrajaya didesak agar memberi kurang perhatian kepada sekolah jenis kebangsaan Cina atau menghapuskan institusi itu sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Leong Kim Soon berkata ucapan Khairul, yang dibuat pada mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno semalam, menunjukkan beliau tidak menyedari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah menyatakan sokongan pengekalan sekolah Cina.
Leong berkata Najib, yang juga presiden Umno, pada mesyuarat agung MCA ke-63 berkata, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan parti berasaskan kaum Cina untuk membina lebih banyak sekolah jenis Cina atau SJKC.
"Jika Khairul tidak memahami apa dimaksudkan perdana menteri, beliau dan ahli Pemuda lain boleh bertanya kepada perdana menteri," katanya sambil menambah ia menunjukkan sikap tidak hormat Khairul terhadap Najib.
"Umno perlu mengambil tindakan ke atas beliau supaya berhenti membuat kenyataan ekstrem mengenai orang Cina." #sumber

Najib: Tun Dr Mahathir "Di Kemuncak Kederhakaan" Kepada UMNO

Posted: 01 Dec 2016 06:31 AM PST


KUALA LUMPUR: Seorang negarawan terbilang yang disanjung sekian lama dan kemudiannya berpaling tadah boleh dianggap 'derhaka' kepada parti, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, kemuncak kederhakaan berlaku apabila bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak bersekongkol dengan pembangkang dan musuh UMNO.
"Dr Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun. 
"Hakikatnya, inilah kemuncak penderhakaan pada Umno, bangsa dan tanahairnya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.
Perdana menteri berkata demikian sebagai mengulas tindakan Dr Mahathir yang kini tidak lagi bersama Umno dan dalam masa yang sama bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.
"Beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, perhimpunan haram Bersih, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang," katanya. 
Bagaimanapun Najib berkata beliau akan terus setia bersama Umno dan menjadi pemimpin matang dan berjiwa besar dalam berdepan pelbagai tohmahan serta kritikan daripada pihak lawan.
Sambil menyatakan bahawa beliau tidak akan melupakan sumpah dan taat setia yang telah dilafazkannya sebagai pemimpin, beliau juga sempat menyindir Dr Mahathir yang sinonim dengan ungkapan 'Melayu Mudah Lupa'.
"Tidak hairanlah kalau benda ini berlaku, kerana ada orang itu sendiri yang pernah menyebut, Melayu Mudah Lupa.
"Lalu, saya ingin bertanya sekarang ini, siapa sebenarnya Melayu yang mudah lupa itu? Pastinya bukan kita, kerana Melayu Umno yang sejati adalah Melayu yang setia dan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti," katanya. #sumber

Kerajaan Akan Ambil Alih RUU 355 Jika Ia Di Luluskan Oleh Parlimen

Posted: 01 Dec 2016 06:25 AM PST


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil alih pembentangan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 jika usul itu diluluskan di Parlimen, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang perlu selesai membentangkan usul tersebut sebelum ia akan dibahaskan dan undian dilakukan.
"Kerajaan kemudian akan mengambil alihnya, akan ada penyata dan menteri yang bertanggungjawab akan membacanya sebagai Rang Undang-Undang Kerajaan (di Parlimen)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di sini, Khamis.
Terdahulu, dalam ucapan dasar presiden, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pindaan terhadap Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 akan diambil alih pihak kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan yang dibawa Abdul Hadi itu tidak dipolitikkan kerana ia adalah usul persendirian yang akan dikaji pihak kerajaan. #sumber

Bekas Pembantu Peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan Jadi Usahawan Muda

Posted: 01 Dec 2016 06:20 AM PST


KUALA LUMPUR: Saiful Bukhari Azlan kini bergelar usahawan muda apabila memiliki salah sebuah gerai yang dibuka sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
"Sudah lapan tahun berlalu sejak saya membuat laporan polis (terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya amat gembira untuk melangkah ke hadapan," katanya.
Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar membuat laporan polis mendakwa diliwat bekas ketua pembangkang itu pada 29 Jun 2008.
Saiful dan isterinya, Nik Suryani Megat Deraman merupakan rakan kongsi di Nang Surya, perniagaan menjual pakaian wanita, beg, aksesori, batik dan songket.
"Keputusan untuk membuka kedai di sini berlaku di saat akhir.
"Ada seseorang telah menarik diri, jadi kami hanya diberi notis selama lima hari untuk mengumpul produk dari Terengganu," katanya.
Nang Surya berpangkalan di Terengganu dengan memiliki sebuah kedai di negeri itu dan juga kedai secara dalam talian yang akan memenuhi permintaan dari dalam mahupun luar negara.
Saiful, 30, berkata kesemua songket dan batik di Nang Surya mempunyai keunikan tersendiri.
Bekas penyampai berita TV3, Nik Suryani, 36, berkata batik dan songket tradisional mula diperkenalkan kepada Nang Surya pada awal tahun ini.
"Saya mula menjual beg tangan dan blazer.
"Sebagai seorang penyampai berita, saya suka memakai blazer yang kemas. Saya juga mahu mereka blazer dengan corak cetakan kenyataan.
Nik Suryani berkata dia meninggalkan industri media selepas 15 tahun kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu.
"Saya sentiasa gemarkan beg tangan dan fesyen, dan suami saya menggalakkan saya untuk meneruskannya dalam bentuk perniagaan," katanya.
Selain daripada perniagaan fesyen, pasangan itu turut mempunyai sebuah firma perunding media dan politik.
Saiful dan Nik Suryani mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.
Mereka dijangka menimang anak kedua pada Mac tahun depan. #sumber